Thursday, March 24, 2011

TEORI KONSPIRASI - Kejatuhan UMNO Melalui Skandal Klip-Video-Seks

Tiba-tiba Malaysia menjadi gamat, gara-gara individu bernama “Datuk T”. Memulakan langkahnya dengan memanggil hampir semua editor kanan akhbar, wartawan ternama, penulis-penulis laman portal popular dan tidak terkecuali penulis-penulis blog yang punyai nama.

Isunya adalah tayangan klip-video sekitar 20 minit. Pelakonnya melakonkan adegan seks. Seorang lelaki dan seorang wanita berkulit cerah. Dikatakan bahawa wajah pelakon lelaki tersebut amat mirip dengan seorang "pemimpin no. 1 pembangkang". Manakala watak wanita pula dikhabarkan sebagai seorang "GRO" berketurunan Cina. Itu plot utamanya.

Sub-plotnya adalah lokasi tayangan klip video tersebut, Carcosa Seri Negara. Ditambah dengan kaedah para jemputan dipanggil. Sungguh misteri. Kononnya kawalan yang teramat ketat dikenakan ke atas jemputan ala-ala VVIP.

Sub-sub-plotnya pula adalah, semasa tayangan klip-video sedang dimainkan, pengarah strategi parti yang diketuai oleh kononnya pelakon lelaki tersebut sebuk menulis melalui kemudahan sosial interaktif “Twitter” – tulisnya adalah penafian bahawa pelakon lelaki dalam klip-video tersebut sebagai pemimpin utama mereka. Tambahnya, klip-video tersebut telah diubah dan direka-reka. Dipendekkan cerita, ianya adalah satu lagi fitnah yang dilemparkan kepada pemimpin mereka bermotifkan politik – menumbangkan "pemimpin no. 1 pakatan pembangkang".

Mungkin plot-plot cerita di atas tidak lengkap jika tidak diumumkan motif kejadian. Justeru, "Datuk T" mengumumkan hasratnya yang mahukan supaya pemimpin serta isteri kepada pemimpin tersebut meletakkan jawatan mereka dari politik yang mereka naungi seterusnya bersara dari politik negara. Atau sahaja klip video tersebut akan diedarkan kepada umum jika permintaan “Datuk T” itu tidak dipenuhi.

Maka, bermulalah episod teka-teki selama hampir 48 jam. Ramai yang cuba menjadi Sherlock Holmes. Tidak kurang lucu ada yang cuba menjadi Detective Conan atau Inspector Gadget. Misinya sama – cuba mencari identiti "Datuk T”. Lebih dramatik, ada pula yang cuba menjadi Steven Spielberg atau George Lucas – memberi komen tentang ketulenan klip-video tersebut berdasarkan ilmu CGI yang entah dari mana mereka pelajari.

MALAYSIA GEMPAR! Gawat dengan Skandal Klip-Video-Seks terbaru.

No comments:

Post a Comment